Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohammed
berkata kerajaan tidak berganjak daripada keputusan bahawa pelaksanaan gaji
minimum itu adalah pada 1 Januari lalu.
Jika ada pengawal keselamatan tidak menerima gaji baru pada 31 Januari ini,
mereka harus bertanya kepada majikan dan membuat laporan kepada Pejabat Tenaga
Kerja berhampiran sekiranya masih tidak ada perubahan selepas itu, katanya
kepada Bernama, di sini hari ini.
Sheikh Yahya berkata jabatan itu berjumpa dengan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia bagi menjelaskan keputusan kerajaan tersebut.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik keputusan kerajaan tersebut yang seiring dengan salah satu resolusi yang dibuat mereka pada persidangan bulan lalu.
Naib Presidennya A Balasubramaniam berkata resolusi itu meminta kerajaan tidak menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut dan tidak tunduk kepada tekanan daripada majikan.
Di bawah skim gaji baru ini, pengawal keselamatan akan menerima gaji bulanan
sebanyak RM1,200 termasuk upah kerja lebih masa.
Pada masa ini gaji mereka adalah sekitar RM450 hingga RM750 bergantung kepada lokasi mereka bekerja.
Sementara itu, tinjauan rambang Bernama pada kalangan syarikat keselamatan mendapati kebanyakan sudah bersedia melaksanakan skim gaji baru tersebut walaupun 'keberatan'.
Ketua Pegawai Eksekutif Eagle Eye Security K Bahadur berkata syarikatnya akan patuh dengan keputusan kerajaan untuk menaikkan gaji pekerjanya.
"Kami sudahpun menyediakan gaji baru untuk kira-kira 200 pekerja kami," katanya.
Satu lagi majikan yang tidak mahu dikenali berkata syarikatnya tidak mampu untuk menaikkan gaji pekerja, namun akan mematuhi keputusan kerajaan kerana lesen operasi menjadi taruhan.
"Kami harus memperbaharui lesen setiap tahun dan jika kami tidak mematuhi keputusan itu kemungkinan lesen kami tidak akan dapat diperbaharui," katanya. -Bernama
No comments:
Post a Comment