Thursday, January 13, 2011

Khidmat MEPS melalui semua telefon bimbit

MALAYSIAN Electronic Payment System (MEPS), penyedia saluran transaksi antara bank akan memperkenalkan perkhidmatan melalui semua jenis telefon bimbit selewat-lewatnya suku kedua tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, perkhidmatan berkenaan dijangka memperluaskan lagi jaringan antara semua bank yang menyediakan kemudahan MEPS dan secara tidak langsung memudahkan pelanggan.

“Perkhidmatan ini dijangka menghubungkan semua bank yang mengguna pakai sistem MEPS dan ia juga membabitkan semua penyedia rangkaian telefon bimbit.
“Kami juga menjangkakan perkhidmatan ini tidak hanya terhad kepada pemindahan wang, sebaliknya merangkumi pelbagai kemudahan disediakan bank,” katanya selepas majlis pelancaran Ibu Pejabat MEPS di Bangsar, Kuala Lumpur.

Hadir sama, Timbalan Gabenor, Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim.

Menurutnya, buat masa ini pihaknya tidak mempunyai sasaran jumlah pelanggan mengguna pakai perkhidmatan itu sebaliknya menjangkakan jumlah pelanggan yang meyakinkan.

“Kami yakin lebih ramai pelanggan mengguna pakai perkhidmatan ini selepas diperkenalkan kelak.

“Situasi ini mungkin sama seperti ketika khidmat SMS mula diperkenalkan. Pada permulaan, SMS hanya boleh dihantar di kalangan pelanggan dari syarikat pengendali yang sama, namun ia terus berkembang selepas perkhidmatan itu diperluaskan kepada semua pengendali rangkaian,” katanya.

No comments:

Post a Comment