Tinjauan Metroplus baru-baru ini mendapati majoriti pengguna jalan raya masih tidak menghiraukan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang belakang ketika di jalan raya seolah-olah mencabar undang-undang negara. Malah, tinjauan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman berhampiran pusat beli-belah Sogo mendapati kebanyakan pemandu masih lagi mengamalkan tabiat lama iaitu memandu tanpa mengenakan tali pinggang keledar. selain membawa lebih penumpang.
Ada juga yang masih berdegil dengan arahan pemasangan alat keselamatan berkenaan biarpun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan arahan agar pemilik kenderaan persendirian yang didaftarkan pada atau selepas 1 Januari 1995, diberikan tempoh pemasangan selama tiga tahun bermula dari tarikh berkenaan.
Eksekutif, Azwani Zam Abdul Rani, 35, berkata, tahap kesedaran pemandu negara ini mengenai perlunya pemakaian tali pinggang itu bagi tujuan keselamatan masih rendah dan tidak ramai mematuhinya, malah menganggap ia satu perkara remeh.
“Setiap hari, kita terdedah dengan kemalangan sewaktu berada di jalan raya. Ramai yang tidak menyedari risiko itu, sebab itu isu peraturan pemakaian tali pinggang belakang ini dipandang sepi kebanyakan pemandu.
“Mereka berbuat demikian jika terserempak anggota penguat kuasa bertugas atau pun sekatan jalan raya, jika tidak, peraturan ini seperti tidak diendahkan,” katanya.
Bagi arkitek, Siti Marsitah Rosly, 30, penguatkuasaan yang longgar menyebabkan orang ramai mengambil kesempatan untuk melanggar peraturan dan ia dapat dielakkan sekiranya pihak berkuasa mengenakan denda yang maksimum kepada pesalah lalu lintas terbabit.
“Persepsi ‘saman boleh bayar’ perlu diubah untuk memastikan segala peraturan yang dikuatkuasakan dipatuhi segenap lapisan masyarakat khususnya pemandu kenderaan kerana ia membabitkan keselamatan nyawa orang ramai. Hanya denda yang sesuai menyedarkan mereka betapa pentingnya menjaga aspek keselamatan di jalan raya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Sulaiman berkata, peraturan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang belakang itu dikuatkuasakan di bawah Kaedah 4A, Akta Pengangkutan Jalan Kaedah-Kaedah Kereta Motor (tali pinggang keledar) pindaan 2008.
Katanya, pihaknya memantau dari semasa ke semasa kesalahan terbabit menerusi penguatkuasaan tidak khusus yang dijalankan bersama pelanggaran peraturan lain yang dilakukan pemandu kenderaan.
“Orang ramai perlu tahu bahawa peraturan ini masih berkuat kuasa, jadi tidak ada alasan mengatakan mereka tidak tahu bahawa pemakaian tali pinggang ini adalah diwajibkan,” katanya.
Shamsuddin berkata, pihaknya membenarkan pengecualian peraturan itu kepada beberapa jenis kenderaan dan keadaan seperti yang membawa barangan dengan muatan melebihi 3,500 kilogram.
“Selain itu, pengecualian juga diberikan kepada kenderaan yang melebihi lapan tempat duduk seperti van. Turut dikecualikan, mana-mana pemandu yang diakui dua pengamal perubatan berdaftar bahawa mereka mempunyai implikasi tertentu jika memakai tali pinggang.
No comments:
Post a Comment